Home Industry TEMBAK DAN KERAT KERBAU : TEKNIK BAHARU PENCURI TERNAKAN

TEMBAK DAN KERAT KERBAU : TEKNIK BAHARU PENCURI TERNAKAN

by news@theanimal.my

JERANTUT 6 Dis. – Tembak guna peluru hidup dan terus mengerat dipercayai tanpa disembelih. Itulah tindakan ‘kejam’ pencuri kerbau yang semakin mengganas di Jalan Ulu Tembeling di sini.

Terbaharu pada Rabu lalu sebanyak tiga ekor kerbau telah ditembak menggunakan peluru hidup tetapi hanya seekor dan setengah ekor sahaja berjaya ‘dikerat’ selepas kumpulan pencuri melarikan diri apabila ditemui penduduk yang lalu di situ.

Tindakan pencuri bukan sahaja meresahkan pemilik ternakan tetapi juga penduduk Islam yang bimbang ‘terbeli’ daging yang tidak disembelih.

Kerbau yang dipotong tanpa sembelihan terlebih dahulu

Seorang penduduk Kampung Pagi yang juga rakan kepada pemilik kerbau berkenaan, Marzuki Mohammad,45, berkata, sebanyak lapan ekor kerbau milik rakannya yang dikenali sebagai Jelani dicuri pada tahun ini.

Katanya kes kecurian yang berlaku pada awal pagi Rabu lalu itu merupakan kes kedua yang berlaku dalam tempoh sebulan melibatkan kes kerbau ditembak dalam cubaan mencuri.

“Sebelum ini seekor kerbau miliknya cedera ditembak sebelum dia menyembelih dan menjual daging tetapi pada malam Rabu lalu tiga ekor lembunya pula ditembak dan cuba dilarikan dengan pacuan empat roda.

Keadaan kerbau yang telah ditembak tanpa sempat dilapah

“Kali ini pencuri hanya sempat mengambil satu ekor setengah daging dan meninggalkan seekor lembu yang di dalam longkang dan setengah ekor lagi di tepi jalan selepas terserempak dengan penduduk,”katanya di sini, hari ini.

Marzuki Mohammad

Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian kecurian kerbau yang berlaku itu bukan sahaja meresahkan pemilik kerbau tetapi juga masyarakat di daerah ini yang khuatir daging kerbau berkenaan dijual kepada orang ramai khususnya orang Islam.

Justeru beliau berharap, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, seorang penternak Haikal Ismail,33, berkata, pada awal tahun lalu dua ekor kerbau miliknya juga menjadi mangsa pencuri yang menembak dan mengambil haiwan ternakannya menyebabkannya menanggung kerugian kira-kira RM6,000.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia sentiasa berasa bimbang kejadian seperti itu akan berulang lagi apatah lagi dia tinggal agak jauh daripada kawasan kerbau ternakannya itu.

Salah seekor kerbau yang ditembak tidak sempat dibawa lari dibiarkan tepi jalan
Cebisan organ kerbau yang dilapah ditemui

Sumber berita & Foto : Pahangstory

You may also like

Leave a Comment