Home Crime ‘TEAM GERILA KHAS’ KESAL PENUBUHANNYA DILABEL SEBAGAI KUMPULAN GERILA PEMBUNUH ANJING

‘TEAM GERILA KHAS’ KESAL PENUBUHANNYA DILABEL SEBAGAI KUMPULAN GERILA PEMBUNUH ANJING

by rajnathan@theanimal.my

Shah Alam, Selangor – Kumpulan peniaga di Seksyen U12 di sini kesal apabila dilabelkan sebagai kumpulan gerila pembunuh anjing disebabkan tindakan mereka mengadu kepada pihak berkuasa agar anjing-anjing liar di kawasan komersial tersebut ditangkap.

Wakil kumpulan tersebut, Muhammad Fathi Ismail berkata, isu tersebut timbul apabila seorang peniaga di sini telah diserang 20 ekor anjing liar hingga luka parah di kepala di kawasan itu semasa menuju ke keretanya.

Berita disiarkan oleh The Animal News mengenai penubuhan ‘Team Gerila Khas’ pada 7 Januari 2021

Menurutnya, tindakan yang diambil kumpulan peniaga ialah menghalau anjing yang sedang menyerang mangsa sebelum membawanya ke hospital untuk menerima rawatan.

“Selepas kejadian tersebut, salah seorang peniaga di sini sekadar suka-suka menggelarkan kumpulan peniaga yang membantu mangsa tersebut dalam hantaran akaun facebook beliau sebagai kumpulan gerila khas yang wujud untuk memastikan tiada anjing liar berada di kawasan tersebut.

“Namun, tindakan ini telah disalah tafsir dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan netizen apabila gambar kami di dalam Portal Berita The Animal News tersebut dipaparkan bersama gambar lain termasuk beberapa ekor anjing yang rebah dan berbuih mulutnya yang tidak diketahui sumbernya di dalam Facebook Malaysia Dogs Deserve Better (MDDB).

“Walhal, kesemua anjing liar tersebut telah ditangkap oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kaedah sumpitan ubat pelali dan dan gambar anjing mati diracun yang dipaparkan tiada kaitan dengan peniaga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Muhammad Fathi, pihaknya memohon mana-mana individu yang tidak mengetahui kedudukan sebenar diminta menghentikan memanipulasi gambar dan hantaran tersebut.

“Saya menggesa mana-mana pihak segera memadam gambar tersebut atau berdepan tindakan undang-undang. Sepatutnya pihak terbabit tidak perlu mensensasikan nama gerila tersebut, seolah-olah kami memang menggunakan kekerasan terhadap anjing,”katanya.

Dalam pada itu, mangsa serangan anjing liar, Muhd Zikri Muit, 48, berkata, kejadian tersebut sepatutnya tidak dipanaskan oleh pihak tidak berkenaan.

Gambar Mangsa serangan anjing liar di Seksyen U12 yang didapati daripada Facebook milik salah seorang ‘Team Gerila Khas’.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia bernasib baik kerana sempat diselamatkan peniaga di kawasan U12 tersebut.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan membuat rondaan berkala di kawasan tersebut agar tiada lagi anjing liar yang menyerang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati, tiada lagi anjing liar di kawasan tersebut, bagaimanapun, hantaran serta gambar berhubung isu tersebut di akaun MDDB masih belum dipadam.

Sumber : Utusan Malaysia

You may also like

Leave a Comment