Home Industry HARIMAU BELANG MENGAMUK DI KEMAMAN

HARIMAU BELANG MENGAMUK DI KEMAMAN

by mira@theanimal.my

Kemaman, Terengganu – Enam ekor lembu milik dua orang penternak dibaham Harimau Belang yang disyaki berkeliran di Felda Kertah 4, Kemaman Terengganu semenjak dua minggu lalu.

Kejadian ini bermula pada 24 November 2020 dan berlarutan hingga ke hari ini. Sepanjang tahun ini 20 ekor lembu ternakan menjadi mangsa serangan Harimau Belang di kawasan Felda Kerteh 4 melibatkan lembu 30 penternak. Perkara ini disahkan oleh Mohd Azimi Hassan Pengurus Felda kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi disyaki terdapat empat hingga lima ekor Harimau Belang berada di lingkungan felda tersebut berdasarkan cara serangan dan kesan tapak kaki yang ditinggalkan.

Antara lembu yang menjadi mangsa dibaham Harimau Belang

Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia pula telah melakukan pemantauan secara berterusan di lokasi kejadian sejak menerima aduan kehadiran Harimau Belang pada 24 November 2020 iaitu sebelum tularnya berita di media sosial Facebook berkenaan serangan Harimau Belang ke atas ternakan orang kampung di Felda Kerteh 4, Kemaman, Terengganu pada 8 Disember 2020.

Pemasangan perangkap Harimau Belang telah dilakukan pada 2 Disember 2020 dan tambahan dua unit perangkap lagi akan di pasang di sekitar kawasan terlibat pada minggu ini. Beberapa tindakan lain turut diambil seperti pemasangan Camera Trap bagi memantau kehadiran dan pergerakan harimau tersebut serta melakukan perbincangan bersama ketua kampung dan pihak penternak bagi mengurung ternakan mereka sehingga keadaan selamat.

Operasi tangkap dan pindah akan dilakukan sebagai inisiatif terakhir sekiranya tangkapan menggunakan perangkap gagal.

Perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perhilitan

Jabatan PERHILITAN menasihati orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk membunuh atau menghalau harimau terbabit sebaliknya menyalurkan maklumat tersebut ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN 1800-88-5151 jika terserempak dengan hidupan liar tersebut.

Kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh Harimau Belang di Felda Kerteh 4

Sumber & Gambar : Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN

You may also like

Leave a Comment