Home Charity 480 KUCING & 12 ANJING JALANAN : Wanita Belanja RM32,000 Sebulan

480 KUCING & 12 ANJING JALANAN : Wanita Belanja RM32,000 Sebulan

by news@theanimal.my

Muscat : Meskipun ada jiran mengeluh, selain perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi, ia sedikit pun tidak membebankan Maryam al-Balushi untuk memelihara 480 kucing dan 12 anjing di kediamannya di sini, sejak 12 tahun lalu.

Ada harinya, lebih daripada sedozen kucing dan anjing peliharaannya itu bersaing untuk mendapatkan perhatian Maryam di kediamannya itu.

Maryam, 51, menggambarkan haiwan peliharaannya itu sebagai ‘penenang’ hidupnya dan sahabat yang lebih baik daripada sesama manusia.

“Saya dapati haiwan, terutama kucing dan anjing, lebih setia daripada manusia,” katanya.

Oman sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan haiwan terbiar, lapor media tempatan, sekalipun menetapkan undang-undang mendenda individu yang membuang haiwan peliharaan sebanyak RM102.

Aktivis haiwan di negara itu juga menganjurkan program ‘tangkap, kasi, lepas’ untuk mengurangkan pembiakan kucing dan anjing terbiar.

Maryam membelanjakan kira-kira RM32,000 setiap bulan untuk kucing dan anjing peliharaannya dengan 17 daripadanya buta.

Selain memberi makan dan membersihkan haiwan berkenaan, dia juga menggunakan perbelanjaan itu untuk berjumpa doktor haiwan serta mendapatkan rawatan perubatan.

Rumahnya sekarang penuh dengan kandang haiwan dengan Maryam membawanya bermain secara bergilir-gilir.

“Semuanya bermula pada 2008 ketika anak lelaki saya membeli seekor anak kucing Parsi kecil,” kata Maryam yang pesara kakitangan awam.

“Seperti kebanyakan ibu, saya enggan memeliharanya kerana tidak menyukai haiwan dan anak saya pula tidak terlalu memberi perhatian atau menjaga kebersihan kucing itu.”

Dua tahun kemudian, selepas Maryam menjaga kucing itu, pendiriaannya berubah.

“Saya mendapati diri saya benar-benar lain. Saya menjaga kucing itu, memberi makan, memandikannya dan menghabiskan banyak masa dengannya,” katanya.

Cinta Maryam terhadap haiwan itu mula tersebar dan ramai ekspatriat yang tidak lagi menetap di bandar itu meninggalkan haiwan kesayangan mereka di depan pintu rumahnya, sementara pengurusan tempat perlindungan haiwan akan berurusan dengannya untuk proses pemeliharaan haiwan itu.

Selepas membeli rumah sendiri pada 2014 berikutan aduan jiran mengenai haiwan peliharaannya itu, dia mula mengambil lebih banyak kucing dan anjing untuk dipelihara.

Maryam berkata, kucing dan anjing peliharaannya itu banyak membantunya mengatasi kemurungan, bahkan mendapat pengikut yang ramai di Instagram.

“Saya di tempat yang ‘gelap’ dan haiwan inilah penyelamat yang menyelamatkan saya,” katanya.

Sumber – AFP

You may also like

Leave a Comment